BEKAS penyerang Liverpool, John Aldridge berkata, Sadio Mane berkemampuan untuk memenangi anugerah Ballon d’Or dan tidak perlu meninggalkan Anfield.

Bintang prolifik Reds itu menerusi satu dokumentari menyatakan mahu memenangi anugerah tertinggi individu itu untuk rakyat di negara kelahirannya, Senegal namun Ballon d’Or didominasi oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sejak lebih sedekad lalu.

Mane memperoleh undian keempat tertinggi pada 2019 selepas memenangi Liga Juara-Juara bersama Liverpool dan melangkah ke final Piala Negara-Negara Afrika.

Dia konsisten dikaitkan dengan perpindahan ke La Liga sejak tahun lalu dengan Barcelona dan Real Madrid dikatakan berminat untuk mendapatkannya tetapi Aldridge berkata, khabar angin penghijrahan dari Anfield ke Camp Nou seharusnya memberikan amaran kepada Mane.

“Tidak semua yang meninggalkan Liverpool akan bergelut. Lihat kepada Raheem Sterling di Manchester City.

“Tetapi Philippe Coutinho adalah contoh terbaik di mana segala-galanya menjadi tidak menentu. Dia berada di puncak prestasi ketika meninggalkan Liverpool untuk ke Barcelona namun dia gagal di sana.

“Ketika ini Liverpool adalah pasukan yang bagus berbanding Barcelona atau Real,” katanya.

Coutinho nyata gagal mempamerkan aksi terbaik bersama Barcelona sebelum dipinjamkan ke Bayern Munich tetapi gergasi Jerman itu juga tidak berminat untuk menandatanganinya secara kekal.

Aldridge berkata, berhijrah ke Sepanyol bukan jalan penyelesaian untuk memenangi anugerah dan dia berasakan Mane sudah berada di tempat yang sesuai untuk memenuhi impiannya itu.

“Dia boleh memenangi Ballon d’Or kerana dia adalah pemain yang hebat. Mane mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenangi anugerah itu di Liverpool berbanding kelab lain,” katanya.