SADIO Mane berkata dia memahami jika Liverpool tidak dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris meskipun mereka hampir memenanginya sebelum pandemik Covid-19 mengganggu misi kelab itu.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp kini selesa dengan kelebihan 25 mata berbanding Manchester City di tempat kedua sebelum aksi liga ditangguhkan dan turut menangguhkan impian Reds untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

Masih tidak pasti bilakah aksi liga akan bersambung semula atau adakah ia dapat ditamatkan.

Ditanya adakah ketika ini dia berasakan seperti seorang juara, penyerang Senegal berusia 27 tahun itu berkata, dia mahu memenangi kejuaraan liga di atas padang.

“Saya mahu memenangi perlawanan dan menjulang trofi. Tapi dengan situasi semasa, apa juga yang berlaku, saya memahaminya.

“Ia agak sukar bagi Liverpool tetapi lebih sukar bagi berjuta orang di seluruh dunia.

“Ada individu yang kehilangan ahli keluarga dan ada situasi yang lebih sukar. Tetapi bagi diri saya, adalah impian saya untuk memenangi kejuaraan liga musim ini.

“Jika ia tidak berlaku, saya akan menerimanya kerana ia sebahagian daripada kehidupan. Harap kami dapat memenanginya pada tahun depan,” katanya.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin minggu ini berkata, tidak mungkin untuk Liverpool menamatkan saingan liga tanpa memenanginya walaupun saingan liga dibatalkan.