PEMENANG pingat emas acara lebuh raya Sukan Olimpik Rio 2016, Greg Van Avermaet mengakui berasa sangat lucu selepas muncul juara perlumbaan Tour Flanders yang hanya dilangsungkan secara alam maya akibat penularan wabak Covid-19.

Avermaet, 35, bersama 12 lagi pelumba lain menyertai perlumbaan akhir ‘De Ronde’ sejauh 32 kilometer yang ditayangkan secara atas talian selepas aksi sebenar ditangguhkan akibar wabak berkenaan.

Anak perempuan Avermaet juga kelihatan di dalam skrin bersamanya di loteng, tatkala pelumba Team CCC kelahiran Belgium itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 20 saat mengatasi rakan senegara,Oliver Naesen dan pelumba Ireland, Nicolas Roche.

“Ia sangat melucukan, anda bergelut tanpa merasai nikmat berada dalam perlumbaan sebenar

“Anak saya, yang tidak faham kenapa bapanya sibuk berlumba di rumah, sangat gembira dengan pencapaian saya,” kata Avermaet.

Pelumba Australia, Michael Matthews gagal menamatkan perlumbaan, manakala tempat ketujuh diraih Tim Wellens yang beraksi dari balkoni rumahnya di Monaco.

“Tiupan angin juga memberi kesan kepada perlumbaan ini, ia membuatkan kita yang berada di depan perlu bekerja lebih keras berbanding mereka di belakang.

“Saya tidak sangsi bahawa Naesen mampu berkayuh dengan lebih baik kerana dia melakukannya di tingkat bawah rumahnya di Belgium,” kata Wellens dari pasuka Lotto Soudal’s.

Sementara itu, penganjur ‘De Ronde’ mengakui bahawa mereka tetap akan menganjurkan perlumbaan sebenar tahun ini.

“Buat masa sekarang kita hanya berbincang mengenai sebarang kemungkinan kerana kita tidak tahu bila krisis ini akan berakhir,” kata penganjur, Tomas Van Den Spiegel.

Juara versi virtual, Van Avermaet berharap dia dapat mengambil bahagian dalam perlumbaan sebenar untuk memperoleh kedudukan lebih baik selepas hanya muncul naib juara pada edisi 2014 dan 2017.