HASRAT untuk melihat Liga Malaysia (Liga M) kembali membuka tirai lebih awal tidak kesampaian apabila sukan itu masih lagi tidak dibenarkan sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan.

Selain bola sepak, sukan seperti ragbi, renang dan semua acara sukan dalaman juga tidak dibenarkan.

Biarpun kerajaan Malaysia akan membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati mengikut standard prosedur operasi (SOP) ketat mulai 4 Mei ini namun beberapa jenis sukan ini masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas beliau yang memaklumkan kesemua aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dalam lain-lain risiko jangkitan tidak dibenarkan.

Namun Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia kini boleh menjalankan aktiviti luar yang tidak membabitkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai.

“Aktiviti kecergasan seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton adalah dibenarkan.

“Berjoging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya.