PERSEKUTUAN Bolasepak Belanda (KNVB) mengumumkan mahu mengakhiri saingan liga musim ini, bergantung perbincangan dengan UEFA susulan keputusan kerajaan melanjutkan pengharaman perhimpunan besar sehingga September susulan pandemik koronavirus.
“Jawatankuasa bola sepak profesional bercadang tidak mahu meneruskan pertandingan 2019/20. KNVB akan mendapat pandangan UEFA sebelum membuat keputusan,” menurut kenyataan persekutuan terbabit awal pagi tadi.
“KNVB belum membatalkan sepenuhnya kejohanan kerana kekangan kewangan dalam industri bola sepak susulan krisis koronavirus.”
Kelab dan pemegang saham bertemu Jumaat ini untuk membincangan kesan daripada keputusan yang bakal diambil.
Terdapat baki lapan pusingan dalam saingan Eredivisie dengan juara bertahan , Ajax mengatasi AZ Alkmaar di puncak berdasarkan perbezaan jaringan manakala final Piala Belanda dijadualkan pada 19 April.
Menurut KNVB, perlawanan tanpa penonton tidak mungkin dapat dilangsungkan kerana ia dianggap acara yang memerlukan permit dan kehadiran polis.
“Tidak ada sebarang perlawanan sebelum 1 September,” menurut kenyataan itu lagi.
Liga utama Belanda dan divisyen dua digantung sejak 12 Mac.
Pengharaman perhimpunan besar turut menjejaskan Grand Prix Formula Satu Belanda yang kembali ke dalam kalendar perlumbaan sejak 1985 dan saingan MotoGP di Assen yang dijadualkan pada 28 Jun.