PEMBATALAN saingan Liga Malaysia (Liga M) tidak semudah ungkapan A, B, C berikutan beberapa faktor terutama wang hak penyiaran dan penajaan yang sudah diterima semua pasukan musim ini.

Dana kira-kira RM30 juta yang sudah diagihkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana perlu dipulangkan semula sekiranya MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhasrat untuk membatalkan kempen Liga M musim ini.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul berkata, keputusan untuk membatalkan liga bukannya mudah dengan banyak perkara perlu diambil kira khususnya berkenaan wang penajaan.

Katanya, beliau memahami beberapa pasukan Liga M yang mengeluh tidak dapat menjana keuntungan menerusi jualan tiket disebabkan kemungkinan perlawanan terpaksa dilangsungkan tanpa penyokong bagi membendung wabak pandemik Covid-19.

“Bukan saja di Malaysia, di banyak negara pun tengah bincang sama ada nak sambung ataupun nak batalkan terus. Kita (AFC) faham ia disebabkan oleh masalah jualan tiket.

“Tapi kena ingat, MFL juga dah terima wang daripada penaja dan wang itu pun sudah diagihkan kepada semua pasukan untuk perlawanan akan datang.

“Sekarang ini kalau isunya duit tiket tak masuk OK saya faham, tapi sekarang wang itu nak kena bayar balik kepada semua penaja ataupun TV (stesen televisyen) dan penaja lain.

“Ia sekali gus mengundang kepada masalah lebih besar iaitu mana nak cari duit sedangkan sekarang pun mereka mungkin tengah ‘kering’,” katanya.

Justeru, seelok-eloknya beliau menyarankan MFL melanjutkan lagi penangguhan liga hingga ke Julai depan dan bersambung perlawanan tanpa kehadiran penyokong.

“Macam-macam pilihan ada sama ada nak batalkan atau nak sambung tanpa penyokong pun boleh. Ia terpulang kepada MFL, FAM dan ia perlu mendapat pandangan kerajaan Malaysia juga.

“Saya fikir baik mulakan tanpa penyokong. Sekurang-kurangnya penyokong boleh menonton perlawanan di rumah dan penaja pun mesti gembira apabila logo syarikat diulang-ulang siar di kaca televisyen di seluruh negara,” katanya.