PENGURUS Chelsea, Frank Lampard percaya The Blues boleh berbangga dengan respons pantas yang diberikan mereka untuk berdepan krisis Covid-19.

Kelab London itu mengambil tindakan pantas menawarkan penggunaan hotel di Stadium Stamford Bridge kepada pekerja kesihatan sebaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan bulan lalu.

Tidak seperti pasukan EPL lain yang mendapat cemuhan selepas mengambil keputusan untuk meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan dan Chelsea setakat ini enggan berbuat demikian.

“Saya sangat bangga menjadi pengurus kelab ini selepas melihat Chelsea berjaya menguruskan krisis Covid-19 dengan baik.

“Mereka sangat pantas memberi reaksi termasuk bantuan hotel dan banyak lagi melalui yayasan yang mempunyai kaitan dengan penyokong,” katanya.

EPL juga dihimpit dengan kontroversi pemotongan gaji pemain sehingga membabitkan ahli politik termasuk Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock yang tidak bersetuju langkah berkenaan.

“Pemain bola sepak akan cuba melakukan perkara yang betul. Saya rasa mereka memerlukan sedikit masa untuk perkara itu tapi ahli politik pula masuk campur,” kata Lampard

Dalam masa sama, Lampard berkata, pemain cuba untuk kekal berada dalam keadaan cergas di rumah masing-masing.

“Kami cuba untuk sentiasa berhubung dengan pemain. Dalam bola sepak kami menggunakan jadual dan rutin, tapi kali ini ia memang berbeza.

“Mungkin kami akan mengadakan pramusim pendek jadi pemain perlu mempersiapkan diri. Mereka profesional jadi anda perlu mempercayai mereka untuk kembali pada tahap terbaik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19