ATLET profesional Sepanyol termasuk pemain La Liga boleh memulakan kembali latihan asas pada 4 Mei, umum kerajaan negara itu hari ini.
Saingan liga bola sepak utama Sepanyol terhenti sejak 12 Mac lalu susulan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata keputusan berkenaan adalah langkah pertama selepas tempoh perintah berkurung yang akan dijalankan dalam empat peringkat sekitar dua bulan.
“Fasa pertama atau fasa 0, adalah persediaan untuk fasa perubahan atau fasa penyingkiran, di mana kita sudah lakukan sekarang,” kata Sanchez.
“Dalam suasana kes yang terbaik, fasa penyingkiran ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu dan tempoh maksimum dapat dilihat dalam lapan minggu membabitkan seluruh Sepanyol,” tambahnya.
Pengumuman membenarkan kelab yang bersaing dalam liga memulakan sesi latihan individu dengan pasukan mereka, mengikut syarat di persetujui La Liga dan Persatuan Bola Sepak Sepanyol awal bulan ini.
Menurut laporan tempatan pemain akan menjalani ujian skrin bagi Covid-19 sebelum menjalani latihan.
Mereka perlu tiba di kemudahan kelab dengan kit lengkap seperti sarung tangan dan topeng muka, dan hanya maksimum enam pemain boleh berada di atas padang dalam satu masa.