BAK kata pepatah, kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Begitulah kisah perjalanan hidup pemain badminton perseorangan wanita kebangsaan, S Kisona.

Ketika berusia empat tahun, Kisona sudah pun memegang raket di gelanggang dan berlatih untuk pertandingan kompetitif dan kini pemain berusia 21 tahun itu menjadi harapan negara untuk mengukir nama di pentas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Ayahnya, A Selvaduray, seorang anggota polis dan jurulatih sambilan bagi skuad Negeri Sembilan, merupakan jurulatih pertama anak muda ini dan sikapnya yang autoritarianisme memainkan peranan besar dalam membentuk Kisona menjadi seorang jaguh.

Pada penampilan sulung Sukan Sea 2019, Kisona melakukan kejutan dengan menggondol pingat emas.

“Kedua ibu bapa membimbing dan mendorong saya untuk memilih badminton sebagai satu kerjaya. Ketika masih muda, saya tidak boleh main secara suka-suka sebab ayah seorang yang tegas. Oleh itu saya mula belajar asas sukan ini sejak usia muda,” katanya ketika dihubungi.

Pendekatan tanpa bertolak ansur membuahkan hasil apabila Kisona mula memenangi gelaran dalam kejohanan peringkat sekolah dan muncul sebagai juara paling muda pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2009 dengan merangkul acara perseorangan dan beregu ketika berusia 10 tahun.

Lima tahun kemudian, anak kelahiran Seremban itu menerima tamparan hebat apabila mengalami kecederaan lutut pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2014 di Alor Setar, sehingga memaksa beliau meninggalkan gelanggang selama dua tahun.

Kisona kembali semula ke gelanggang pada Kejohanan Grand Prix Remaja Belanda pada 2016 tetapi terpaksa bergelut mencari rentak sebelum merangkul gelaran pertama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Siri Antarabangsa Indonesia pada Mei 2017 dan Siri Antarabangsa Malaysia, dua bulan kemudian.

Bagaimanapun, pemain muda ini mula memikat hati peminat badminton apabila dipilih sebagai pengganti bagi juara bertahan Goh Jin Wei yang dibelenggu masalah kesihatan pada bahagian perutnya, dan akhirnya berjaya mempertahankan emas Sukan Sea dengan mengejutkan pemain senior di Manila, November lalu.

“Walaupun menempuh banyak cabaran dan kecederaan, sokongan keluarga mendorong saya untuk tidak mengalah. Saya ucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan jurulatih, Datuk Tey Seu Bock dan Loh Wei Seng kerana sentiasa memberi motivasi dan membimbing untuk menjadi lebih baik.

“Matlamat utama saya adalah untuk memenangi pingat pada sukan Olimpik, Buat masa ini, kemenangan Siri Antarabangsa Indonesia dan Sukan Sea adalah kenangan paling manis dan dekat di hati saya.

“Ia membuktikan usaha keras membuahkan hasil serta motivasi untuk melangkah lebih jauh dalam karier ini. Jika tidak memilih badminton sebagai kerjaya, maka saya ingin menjadi seorang guru,” kata pemain ranking ke-92 dunia yang fasih bertutur bahasa Mandarin.