TIADA apa yang dikesalkan oleh beregu badminton negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong selepas memilih tidak lagi bergandingan bersama membawa nama negara pada penghujung 2016.

Begitupun, gandingan itu disifatkan oleh peminat sebagai antara beregu paling berjaya pernah Malaysia hasilkan berdasarkan pencapaian meraih emas di Sukan Asia Doha (2006), dua emas temasya Komanwel (2010), perak di Kejohanan Dunia di Paris (2010), juara Seluruh England (2007) selain meraih lapan kejuaraan dalam Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bagi Kien Kiat atau sering disapa dengan panggilan KKK itu berkata, jika anda melakukan sesuatu dengan memberi yang terbaik dalam setiap apa yang anda lakukan pasti tiada penyesalan dalam diri.

“Sepanjang karier saya dalam badminton tiada apa yang dikesalkan. Setiap keputusan yang dibuat pasti akan ada baik dan buruknya dan saya sudah melakukan yang terbaik.

“Begitulah sebaliknya jika anda tidak melakukan bersungguh-sungguh,” katanya Kien Kiat di Facebook.

Aksi Kien Kiat dan Boon Heong pada kejohaanan Seluruh England.
Aksi Kien Kiat dan Boon Heong pada kejohaanan Seluruh England.

Gandingan negara itu hingga kini masih menjadi sebutan dan ada dikalangan peminat yang merindui sentuhan beregu negara itu.

Bagi Boon Heong ia adalah sesuatu yang mustahil untuk kembali bergandingan bersama KKK biarpun masih mampu berbuat demikian kerana kini sudah ada tanggungjawab baharu yang perlu dipukul.

“KKK adalah gandingan terbaik saya. Biarpun kami sering bergaduh dalam gelanggang itu adalah perkara biasa kerana kedua-dua kami pemikirannya berbeza.

“Tapi selepas bersara ini terutama sebelum tidur, saya akan terfikir balik, betul apa yang KKK pernah cakap dan ia adalah betul,” katanya.