KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) akan menyusun semula jadual pertandingan di bawah kelolaannya selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, beliau bersama ahli jawatankuasanya sedang menyusun semula jadual pertandingan beberapa kejohanan yang terpaksa ditangguhkan susulan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu.

“Selepas tamat PKP, kami akan memberikan tumpuan kepada penganjuran Liga Hoki Remaja 2020 kerana semua sedia maklum liga tersebut sepatutnya telah bermula, namun ditangguhkan ekoran PKP dan saya berhasrat untuk menjalankan pertandingan tersebut secepat yang boleh.

“Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menangguh peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jadi ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat acara sukan untuk dilangsungkan dan diberikan tumpuan selepas berakhir PKP nanti,” katanya menerusi laman sesawang KHM;www.mhc.org.my.