SETIAP kali Ramadan, perkara pertama yang diingati pakar pukulan sudut penalti wanita negara, Nuraini Abdul Rashid adalah kenangan bersama rakan sepasukan di dalam skuad kebangsaan.

Bagi Nuraini, Ramadan dan Syawal sering memberi kenangan manis kepadanya kerana banyak peristiwa yang berlaku di bulan mulia itu, antaranya terpaksa menjalani latihan seawal jam 2 pagi sebelum bersahur bersama rakan sepasukan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

‘Kerja gila’ berlatih awal pagi itu dilakukan bekas jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah pada Ramadan tahun lalu sebagai persiapan ke kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Bandbridge yang juga kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Mula-mula kami semua tertanya-tanya betul ke kami perlu jalani latihan pada awal pagi sebab rasanya tak pernah mana-mana pasukan buat perkara seperti itu.

“Tapi lama kelamaan kami sudah terbiasa dan seronok pula kerana dapat bersahur bersama rakan sepasukan di tepi padang.

Itu antara kenangan yang saya tak dapat lupakan.”Kemudian kami perlu pergi lebih awal ke Eropah ketika Ramadan sebelum beraya di sana,” katanya.

Jelas Nuraini, semua detik indah itu tidak dilaluinya pada tahun ini kerana selain negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, skuad wanita juga tidak mempunyai sebarang program.

“Jadi pengisian Ramadan kali ini agak berbeza. Dengan situasi PKP, saya kena masak sendiri dan mengisi masa yang ada dengan beribadah,” katanya.

Nuraini yang baru selesai beraksi dengan kelab liga utama England, East Grinstead HC bersama penjaga gol utama negara, Farah Ayuni Yahya sehingga Mac lalu, mengakui ketika ini merindui keluarganya di Bera, Pahang.

“Ketika saya dan Ayuni pulang dari England, negara sudah menguatkuasakan PKP. Jadi kami berdua perlu menjalani tempoh kuarantin sebelum saya menumpang di rumah Ayuni kerana tidak boleh balik ke kampung.

Saya harap situasi akan kembali seperti biasa dan dapat pulang ke kampung untuk berpuasa dan beraya bersama keluarga,” katanya.