“MEMANG berisiko tinggi dan kalau ikutkan apalah sangat yang saya dapat, tetapi hakikatnya ialah saya dapat kepuasan sebenar.

“Demikian pengakuan pemain hoki kelab Hockademy yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM), Wan Hazrul Wan Nawi malah dia juga bertugas sebagai seorang anggota bomba dan kini bertugas di barisan hadapan dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Jelas Wan Hazrul, dia tidak pernah menjangkakan situasi semasa kini berlaku kepada Malaysia dan seluruh dunia, tetapi pada masa sama bersyukur kerana dapat membantu masyarakat.

“Kebiasaannya saya dan rakan ditugaskan melakukan semburan nyahkuman. Terbaru kami ditugaskan melakukan semburan di Penjara Sungai Buloh.

“Apabila bertugas di zon merah yang kita tahu berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak ini, saya serta rakan perlu lebih bersedia dan berhati-hati.

Kami tidak boleh membuat kesilapan dan melaksanakan tugas dengan ala kadar sahaja.

“Seperti mana doktor dan jururawat yang bertugas di hospital, kami juga perlu memakai pakaian khas yang agak tebal dan panas.

Bila buka pakaian itu, rasa badan jadi lembik dan tak mahu memakainya untuk tempoh lapan hari,” katanya.

Justeru jelas Wan Hazrul, kepada mereka yang berpeluang tinggal bersama keluarga di rumah, dia menggesa mereka mengikut segala arahan kerajaan dan pihak berkuasa.

“Tak perlulah keluar jika tidak ada perkara penting. Saya baru membuat semburan di Penjara Sungai Buloh dan rasanya tak berbaloi jika anda disumbat ke dalam penjara hanya kerana melanggar arahan untuk duduk di rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19