SEBUAH kelab Liga Perdana Inggeris dipercayai menanggung kerugian sekitar £9 juta (RM49 juta) seminggu berikutan pandemik Covid-19.

Kelab utama itu berdepan kerugian besar kerana mereka masih perlu membayar kos yang besar untuk gaji tanpa menerima sebarang pendapatan.

Difahamkan selepas kerugian berjuta-juta pada setiap minggu, kelab berkenaan kemungkinan akan memohon £100 (RM545 juta) menerusi pinjaman bank untuk menampung kerugian itu.

Kelab Liga Perdana berdepan kemungkinan untuk membayar balik sebanyak £762 juta (RM4.1 bilion) kepada penyiar rasmi jika mereka gagal menghabiskan kempen musim ini.

Kelab juga gagal meraih pendapatan menerusi jualan tiket, penajaan dan pelbagai lagi keuntungan pada hari perlawanan.

Ketika rata-rata kelab Liga Perdana mahu musim ini dihabiskan, masih ada kebimbangan adakah aksi liga boleh bersambung semula atau baki liga dibatalkan.

Kelab sedang berusaha mencari jalan untuk mengurangkan kos dan perbincangan sudah pun dilakukan dalam usaha mendapat persetujuan pemain untuk pemotongan 30 peratus daripada gaji mereka.

Bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat antara Persatuan Pemain Bolasepak Profesional dan Liga Perdana sekali gus gagal meraih sebarang kata putus.