BERIKUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini, penyerang Melaka, Fakhrullah Rosli mengambil inisiatif menjalankan perniagaan sendiri bagi menjana pendapatan.

Justeru bekas penyerang Perlis, DRB Hicom, MOF FC dan SAMB FC itu menjalankan perniagaan kambing perap sejak minggu lalu bagi menambah duit poket diri dan keluarga.

Katanya, idea terbabit timbul selepas mendapati situasi semasa yang terbatas untuk dirinya dan orang ramai keluar dan menikmati hidangan di restoran dan kedai makan.

“Sehubungan itu, dengan resipi salah seorang rakan saya mencuba menyediakan kambing bakar berkenaan sebagai permulaan perniagaan sendiri.

“Alhamdulillah sambutan amat baik selepas saya berkongsi dengannya untuk memasarkan kambing perap terbabit di sekitar bandaraya Melaka,” katanya.

Fakhrullah (depan) ketika menjalani sesi latihan bersama skuad Melaka sebelum saingan Liga M ditangguhkan berikutan Covid-19. FOTO FB Musa
Fakhrullah (depan) ketika menjalani sesi latihan bersama skuad Melaka sebelum saingan Liga M ditangguhkan berikutan Covid-19. FOTO FB Musa

Sehubungan itu, dia mengharapkan perniagaan berkenaan akan terus kekal walaupun PKP sudah berakhir kelak berikutan keenakan dan permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Fakhrullah menjualnya pada harga RM28 untuk 500 gram termasuk sos lada hitam percuma dengan kos penghantaran RM3 di Melaka Tengah dan RM4 seluruh Jasin itu jelas memberi pilihan orang ramai untuk menikmati hidangan berbeza sepanjang PKP.

Sementara itu, azamnya masih segar untuk menjulang kejayaan Melaka pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Walaupun, hanya menjalani latihan sendiri di rumah, namun dia yakin kecergasannya masih berada dalam keadaan terbaik menerusi jadual latihan yang disusun barisan kejurulatihan.

Baginya, dia amat bersedia untuk kembali beraksi dan berharap jika Liga M diteruskan, tekadnya untuk terus bertindak cemerlang melonjak imej skuad Hang Tuah.