PEMAIN pertahanan Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan mengakui tidak sabar untuk turun padang melakukan rutin latihan sebagaimana biasa sebelum ini.

Dalam masa sama pemain berasal dari Seremban, Negeri Sembilan yang lebih mesra dipanggil Anas itu mendoakan agar rantaian pandemik Covid-19 dapat dihentikan dengan segera bagi membolehkan Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung semula.

“Jika ikut hati saya memang tidak sabar dan sangat rindu untuk berlatih serta beraksi di padang seperti biasa, kaki pun sudah menggigil untuk menyepak bola, tapi apakan daya kami perlu akur memandangkan wabak Covid-19 ini belum pulih sepenuhnya.

“Jadi saya hanya ikut jadual latihan yang diberikan jurulatih, namun begitu ia tidak memberi kepuasan kerana dilakukan begitu terhad di rumah,” katanya.

Ketika ditanya pandangannya mengenai saingan Liga Malaysia (Liga M) yang kini sudah tertangguh selama sebulan bermula 16 Mac lalu selain belum menampakkan tanda akan disambung semula, Anas mengharapkan liga dapat kembali seperti biasa selepas tempoh PKP berakhir pada 28 April ini.

“Sebagai pemain, sudah tentu mahukan liga disambung kembali lagipun baharu empat perlawanan dilangsungkan manakala saingan liga pun msih lagi terbuka.

“Namun jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menamatkan liga lebih awal berikutan bimbang penularan wabak itu, kami perlu akur demi kebaikan semua rakyat Malaysia.

“Tapi saya berharap jika liga tidak dapat diteruskan, kami merayu persatuan bolasepak negeri dapat menjaga kebajikan pemain demi

kelangsungan hidup terutama dengan penularan wabak itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan