ANDY Gray menggesa Manchester United menjual Paul Pogba dan membawa masuk Jack Grealish menjelang musim baru saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas penyerang Aston Villa itu berkata, penghijrahan Grealish adalah sangat tepat sekali, memandangkan Pogba juga bersedia meninggalkan Old Trafford hujung musim ini selepas kecewa dengan penampilan kali kedua di kelab berkenaan.

Grealish menjadi buruan utama Ole Gunnar Solskjaer namun dia memperjudikan nasibnya ke Old Trafford selepas melanggar arahan kerajaan bulan lalu untuk berada di rumah berikutan penularan wabak Covid-19.

Tindakan Grealish menyebabkan Solskjaer menangguhkan hasrat membawa pemain berkenaan namun Gray menggesa United meneruskan perancangan membeli tonggak Villa itu.

“Kita tidak tahu bagaimana nasib bola sepak dalam menghadapi krisis ini. Kita tidak tahu adakah bola sepak akan tetap sama dan adakah ia memberi kesan kepada nilai pemain,” kata Gray kepada The Sun.

Gray mengakui jika semuanya selesai United perlu menjual Pogba dengan harga 100 juta pound (RM534 juta) dan membawa masuk Grealish berharga 70 juta pound (RM374 juta)

Solksjaer dijanjikan dana untuk melengkapkan skuad yang sedang dibangunkanya dengan Jadon Sancho juga menjadi sasaran utama.