HARIMAU Malaya bakal hadir dengan kekuatan maksimum apabila Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bersambung semula pada Oktober depan serta Piala AFF pada November ini.

Ia susulan kesediaan pemain naturalisasi berdarah Malaysia yang juga tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa meluahkan keinginan untuk kembali menyarung jersi negara.

Dia yang meraih caps pertama di peringkat antarabangsa ketika membantu skuad kebangsaan mengikat Mongolia 2-2 pada 2018 lalu mengakui bersedia sekiranya dipanggil oleh pengendali negara Tan Cheng Hoe.

“Sudah tentu sebagai pemain jika peluang itu datang, saya tidak akan menolaknya untuk beraksi dengan skuad kebangsaan kerana ia satu penghormatan dalam karier mana-mana pemain,” katanya.

Natxo, 34, yang dilahirkan di Sepanyol dan pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka La Liga seperti Levante, Celta dan Zaragoza memiliki kualiti tersendiri dan cukup kreatif dalam menggerakkan jentera tengah.

Malah, kehadirannya akan menambah kekuatan pasukan yang turut mendapat sentuhan tonggak naturalisasi dari Siberia, Liridon Krasniqi di posisi itu selain Mohamadou Sumareh.

Jelas Natxo lagi, tumpuannnya kini meningkatkan prestasi selepas berehat agak lama ekoran kecederaan dialami sebelum ini.

“Persaingan dalam pasukan merebut posisi tengah cukup sengit namun ia satu situasi sihat kepada saya serta pasukan kerana secara tidak langsung masing-masing tingkatkan prestasi.

“Namun jika ditanya kepada saya adakah saya mahu beraksi jika mendapat panggilan, ya sudah tentu saya menerimanya dan tidak akan menolak.”