AJAX Amsterdam membatalkan kontrak Abdelhak Nouri, yang mengalami kecacatan kekal kerosakan otak selepas mengalami serangan jantung ketika kelab berkenaan mengadakan aksi pramusim pertengahan 2017.

Sebelum ini Ajax membayar gaji Nouri seperti biasa namun sekarang kontraknya dibatalkan, walaupun sepatutnya secara automatik bakal diperbaharui 1 Julai.

Kelab berkenaan masih dalam perbincangan dengan keluarga Nouri mengenai urusan pada masa akan datang, selepas dia dipindahkan ke bilik khas di rumahnya apabila setahun terlantas di hospital.

Terdapat perselisihan pendapat antara Ajax dan keluarga Nouri, yang cuba mencari jalan penyelesaian apabila sebelum ini kelab berkenaan mengakui sudah membantu menyalurkan bantuan dari segi perubatan selepas pemain itu rebah ketika aksi menentang Werder Bremen pada Julai 2017 di Austria.

Walaupun berjaya disedarkan di atas padang dan di bawa ke hospital, Nouri mengalami kecederaan serius dan kekal di bahagian otak

“Kami sudah menjalankan tanggungjawab di atas apa yang menimpanya,” kata pengurus besar Ajax, Edwin van der Sar pada 2018.

Kelab Belanda itu berkata, mereka sudah mendapatkan pandangan pihak luar mengenai insiden berkenaan dan melakukan tindakan yang sepatutnya, namun siasatan lanjut menjelaskan sepatutnya mesin kejutan elektrik kepada jantung (defibrillator) perlu digunakan.

Nouri, yang lahir di Amsterdam mempunyai pertalian darah Maghribi, dengan membuat penampilan 15 kali dengan Ajax dan penampilan pertamanya pada musim 2016-17.