SON Heung-min sudah bersedia untuk menjalani perkhidmatan ketenteraan selama tiga minggu sekali gus memanfaatkan tempoh penggantungan Liga Perdana Inggeris susulan pandemik Covid-19.

Bintang Tottenham Hotspur berusia 27 tahun itu menyertai kem latihan marin Korea Selatan di Selatan Pulau Jeju di mana dia akan melengkapkan sesi latihan asas ketenteraan.

Di bawah undang-undang di Korea Selatan, sebelum berusia 28 tahun, rakyat mereka perlu melengkapkan tempoh selama 21 bulan untuk perkhidmatan negara kecuali jika mendapat pelepasan.

Heung-min mendapat pelepasan selepas memenangi pingat emas bersama skuad kebangsaan pada Sukan Asia 2018 tetapi bersedia untuk menjalani latihan jangka masa pendek ketika ini.

Dia tiba di kem latihan tentera semalam dengan mengenakan topi hitam, jaket hijau, seluar hitam dan memakai penutup mulut.

Sebaik sahaja penyerang Spurs itu memulakan perkhidmatannya, dia akan didedahkan tentang bagaimana menggunakan senjata, asas peperangan dan latihan kecergasan.

Heung-min yang mengalami kecederaan patah tangan Februari lalu, juga akan didedahkan dengan latihan kimia, biologi, radiologi dan nuklear.

Sumber tentera marin mendedahkan Heung-min bakal berdepan beberapa rintangan.

“Apabila anda menjadi anggota tentera, anda seharusnya mampu menembak menggunakan senjata, bernafas di dalam gas dan terbabit dengan pertempuran termasuk berlari dan merangkak di sekitar kawasan peperangan,” katanya.