SEPERTI atlet lain, pemain berpengalaman, Christie Jayaseelan tidak terkecuali menjalani latihan harian di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Bagi pemain tengah PJ City FC itu, dia mengikuti segala arahan yang diberikan jurulatih kecergasan termasuk menghantar video latihan seperti yang ditetapkan.

“Setakat ini, saya mengikuti program latihan yang diberikan jurulatih dalam mengekalkan tahap kecergasan sama ada dilakukan pada waktu pagi atau petang.

“Boleh dikatakan setiap hari saya perlu menghantar video latihan bagi membolehkan jurulatih memantau perkembangan semasa semua pemain sepanjang tempoh PKP.

“Saya tiada masalah melakukannya kerana sebagai pemain profesional, kami perlu sentiasa kekal cergas dan mengikut arahan yang diberikan,” kata pemain berumur 34 tahun itu.

Christie yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kebiasannya rutin latihan yang dilakukan mengambil masa antara sejam dan 90 minit setiap hari.

Katanya, pendekatan yang dilakukan pengurusan kelab dalam memastikan semua pemain berada pada prestasi terbaik, adalah tepat.

“Biarpun latihan yang dilakukan tidak sama ketika sesi latihan di padang, ia sekurang-kurangnya membantu dalam mempertingkatkan tahap kecergasan.

“Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan latihan yang dilakukan dan sentiasa mematuhi arahan PKP bagi menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya.