LEWIS Hamilton melabelkan Mercedes sebagai ‘pasukan impian’ dan juara dunia itu menyatakan tidak bercadang untuk meninggalkan pasukan itu apabila kontraknya berakhir hujung musim ini.
Pemandu British itu dikaitkan dengan perpindahan ke Ferrari selepas mendedahkan pada Januari lalu bahawa dia masih belum mengadakan perbincangan berhubung kontrak baharu bersama Mercedes.
Juara dunia enam kali berusia 35 tahun itu berkata, dia akan terus kekal bersama Mercedes.
“Saya tidak menyimpan impian ke pasukan lain. Ketika ini saya bersama pasukan impian.
“Tiada yang menghalang saya tetapi saya sendiri tidak mahu berhijrah. Saya bersama pasukan yang mengambil berat mengenai diri saya sejak hari pertama lagi,” kata Hamilton di Instagram.
Hamilton perlu sedar peluang untuk ke Ferrari akan berakhir jika Sebastian Vettel menandatangani kontrak baharu.
Seperti Hamilton, Vettel yang juga juara dunia empat kali, akan tamat kontraknya pada hujung tahun ini manakala rakan sepasukannya, Charles Leclerc mempunyai kontrak sehingga 2024.
Vettel minggu lalu berkata, dia mahu terus kekal di Ferrari selepas hujung musim ini.