PELUMBA Yamaha, Valentino Rossi berkata dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya dalam MotoGP sebelum memulakan mana-mana perlumbaan pada 2020, ketika pandemik Covid-19 menyebabkan perlumbaan musim ini tertangguh.

Juara dunia MotoGP tujuh kali itu dijangka tamat kontrak pada penghujung tahun ini dan bagaikan sudahpun kehilangan tempatnya di pasukan Yamaha tahun depan kepada rookie sensasi 2019, Fabio Quartararo.

Yamaha sedia menawarkan kontrak baru kepada Rossi sekiranya dia ingin terus bersaing dengan menjanjikan “jentera YZR-M1 spesifikasi kilang” dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Januari lalu.

Pelumba dari Itali itu bercadang menggunakannya pada tujuh atau lapan perlumbaan awal tahun ini untuk melihat tahap saingan sebelum bersetuju untuk mengikat perjanjian baharu.

Namun penularan Covid-19 menyaksikan perlumbaan MotoGP ditangguhkan atau dibatalkan dalam beberapa perlumbaan awal kempen musim ini.

Rossi ketika beraksi dalam sesi latihan pada Shell Malaysia MotoGP 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). FOTO File NSTP
Rossi ketika beraksi dalam sesi latihan pada Shell Malaysia MotoGP 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). FOTO File NSTP

Ketika musim ini dilihat sukar dimulakan sehingga terawal GP Czech pada Ogos, Rossi mengakui dia kini terpaksa mengambil keputusan apabila tiba masanya.

“Saya berada dalam situasi sukar kerana seperti yang saya katanya pilihan pertama saya adalah untuk kekal kerana mempunyai motivasi yang kuat dan mahu meneruskannya,” kata Rossi dalam satu temu bual yang dianjurkan Yamaha menerusi media sosial.

“Namun adalah amat penting untuk memahami tahap persaingan kerana terutama bahagian kedua tahun lalu, kami berdepan ujian yang sangat sukar dan banyak masanya saya terlalu perlahan dan saya [tidak boleh bersaing] dalam kelompok lima teratas.

“Jadi, dalam pemikiran saya, saya mempunyai satu lagi tahun dengan pasukan pengeluar dan saya memerlukan masa untuk membuat keputusan.

“Dan bagi saya, saya perlukan sekurang-kurang lima atau enam perlumbaan untuk memahami ketua jentera yang baharu [David Munoz] dan beberapa ubah suai untuk memantapkan aksi.

“Masalahnya ialah ketiadaan perlumbaan berikutan penularan virus. Sehubungan itu, saya harus memuktamadkan keputusan ini sebelum saingan bermula kerana dalam situasi ini, saya optimis perlumbaan dapat dianjurkan dalam separuh kedua musim ini.”