SEKALIPUN banyak perancangan tergendala namun perjuangan tetap diteruskan dan impian ke temasya Olimpik tidak pernah terpadam buat atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail.

Malah dia sanggup mengeluarkan wang sakunya sendiri untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih terkemuka, Teddy Tamgho yang kini berada di Perancis.

Katanya, latihan tetap diteruskan seperti biasa dengan menggunakan kemudahan yang ada di rumah bagi memastikan kecergasannya berada di tahap maksimum.

Hakimi berkata, dia tidak mahu menggunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk culas melakukan latihan kerana waktu ini adalah tempoh yang genting untuk semua atlet.

“Saya meneruskan program seperti biasa iaitu sebelum PKP dengan mengubah suai apa yang ada di rumah untuk berlatih. Macam berlatih lompat saya cari peralatan yang boleh digunakan untuk membuat halangan.

“Begitupun memang tidak dinafikan terdapat kekangan kerana PKP tapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana kita sendiri tidak tahu bila pertandingan akan bermula,” katanya.

Biarpun mengakui rindu untuk turun berlatih kerana itulah rutin harian yang sudah berbelas tahun dilakukan, Hakimi berkata, PKP ini membolehkan dia menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga terutama anak keduanya, Puteri Arabella Irose yang baru memasuki usia tiga bulan dan Muhammad Ayden Matiin, 3.

Sementara itu berdasarkan ranking kedudukan atlet negara yang dikeluarkan oleh Olahraga Dunia (WA) sehingga 31 Mac lalu, Hakimi kini berkedudukan tempat ketiga di belakang jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh.

Untuk rekod, Hakimi adalah pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan catatan 16.77 meter (m) yang dilakukan ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.

Dia turut meraih tiga emas berturut-turut di temasya dwi tahunan bermula di temasya Sukan Sea Singapura (2015), KL (2017) dan Filipina (2019).