ARSENAL begitu berminat untuk mendapatkan pemain Atletico Madrid, Thomas Partey dan bersedia menawarkan Alexandre Lacazette bagi membolehkan perpindahan itu menjadi kenyataan.

Partey, 26, adalah sasaran utama pengurus Gunners, Mikel Arteta yang memberi keutamaan untuk mendapatkan pemain tengah bertahan pada musim panas.

Bintang Ghana yang dianggarkan bernilai £50 juta (RM273 juta) itu menjadi watak penting Atletico dan mempamer aksi meyakinkan ketika mengatasi Liverpool pada saingan Liga Juara-Juara.

Partey masih berbaki kontrak tiga tahun di Atletico dengan kelab itu bersedia menawarkan sesuatu lebih baik kepadanya termasuklah menaikkan gajinya.

Atletico berharap dengan langkah itu mereka dapat menggunakan khidmatnya sehingga 2025.

Ini bermakna, Arsenal yang hanya mempunyai dana terhad untuk Arteta, perlu bijak mendapatkan pemain tengah itu dari Atletico.

Arteta dikatakan bersedia untuk mengorbankan Lacazette yang juga seorang penyerang sebagai tambahan kepada pakej perpindahan itu.

Atletico sememangnya sedang mencari penyerang selepas gagal mendapatkan Edison Cavani dengan Lacazette adalah sasaran seterusnya.

Lacazette gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama sejak Arteta tiba hujung Disember tahun lalu dengan Pierre-Emerick Aubameyang menjadi pilihan utama.