PEMINAT Plymouth Argyle tentunya sudah berusaha keras untuk membantu kelab menghadapi krisis kewangan disebabkan pandemik Covid-19 dan salah seorang dari mereka ialah Kasra Sherell.

Ratusan peminat cuba membantu untuk membolehkan kelab berkenaan mencapai sasaran kutipan sebanyak £50,000 (RM270,000) tatkala ia berbaki empat hari lagi, begitu juga dengan Kasra yang mengirimkan wang simpanannya selepas mendapat tahu kelab berkenaan berdepan krisis kewangan selepas diumumkan pengerusi, Simon Hallett alam laman web rasmi baru-baru ini.

Hallett sebelum ini mengeluarkan satu surat terbuka mengenai kerugian kelab dan bagaimana beliau akan membiayai sendiri kekurangan berkenaan.

Selepas membaca surat berkenaan Sherell menulis suratnya sendiri kepada Hallett dan memasukkan beberapa keping wang bernilai £10 (RM54) sekali gus menunjukkan sikap kemurahan hati yang luar biasa.

“Kehadapan Simon. Saya membaca nota yang ditulis pada Khamis 23 April 2020. Apa yang saya baca kelab sedang berdepan masalah kewangan. Jadi saya terfikir untuk menghulurkan bantuan. Saya harap ia dapat meringankan beban pasukan. Saya juga berharap kita dapat menangani krisis ini secepat mungkin, saya tidak sabar melihat Green Army kembali melayar sekali lagi.

“Saya juga berharap anda dan keluarga berada dalam keadaan sihat, dengan tulus ikhlas, penyokong Argyle,” katanya dalam surat berkenaan.

Keluarga Sherell mempunyai susur galur di Tavistock dan sudah beberapa beberapa generasi menjadi penyokong Argyle.

Ketika zaman kanak-kanak, bapa Sherell sering bermain bola sepak dengan bekas penyerang kelab berkenaan, Mickey Evans.

“Saya terbaca dan menghargai nota dari pengerusi kelab di laman web rasmi. Saya berkongsi dengan isteri dan tiga orang anak saya yang saya yakin ingin mengetahuinya.

“Dua jam kemudian saya menjumpai surat di meja sebelah katil saya, sedia untuk dihantar, bersama sampu surat serta wang simpanannya (Sherrell). Saya yakin dia sudah memecahkan tabungnya.

“Saya juga percaya dia mempunyai alamat Simon dengan mencarinnya di internet dan menggunakan laman web syarikatnya. Kas sudah membaca mengenai kelab yang berdepan masalah kewangan dan mahu membantu Argyle,” kata Matt.

Keluarga berkenaan sekarang ini menetap di New York dan kali terakhir menyaksikan perlawanan Argyle ketika pasukan berkenaan menumpaskan Leyton Orient di pusingan pertama Piala Liga Ogos lalu.