KAPTEN Aston Villa, Jack Grealish membuat permohonan maaf kerana melanggar arahan kerajaan berhubung penjarakan sosial ketika polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kemalangan membabitkan Range Rover milik Grealish di kawasan tempat letak kereta.

Villa mendedahkan kekecewaan terhadap Grealish dan berkata pemain berusia 24 tahun itu akan dikenakan hukuman dengan jumlah denda itu bakal didermakan kepada hospital kanak-kanak di Birmingham.

Pihak polis di West Midlans berkata, mereka menerima panggilan di Solihull berhampiran Birmingham, lokasi yang menyaksikan dua kereta mengalami kerosakan kecil.

“Saya mahu menyampaikan mesej bahawa saya berasa malu dengan apa yang berlaku minggu ini,” kata Grealish menerusi video di Twitter miliknya.

“Saya menerima panggilan daripada rakan untuk pergi ke rumahnya dan saya bersetuju untuk hadir. Saya tidak mahu melakukan kesilapan sama lagi, jadi saya menggesa semua pihak supaya tinggal di rumah dan mengikut arahan serta peraturan ditetapkan,” katanya.

Pihak kerajaan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan dan hanya membenarkan orang ramai untuk pergi ke kedai membeli makanan, perubatan selain ke tempat kerja bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Aston Villa amat kecewa apabila salah seorang daripada pemain kami melanggar arahan kerajaan untuk kekal duduk di rumah ketika krisis koronavirus.

“Kapten kelab, Jack Grealish mengakui tindakannya keluar dari rumah adalah salah. Ia melanggar arahan kerajaan yang sudah jelas dan sepatutnya dituruti oleh semua pihak.

“Pemain itu akan dikenakan tindakan disiplin dan didenda. Jumlah denda itu akan didermakan kepada Universiti Hospitals Charity di Birmingham,” kata Villa dalam satu kenyataan.