PERLUMBAAN MotoGP di Jerman, Belanda dan Finland pada Jun serta Julai depan dibatalkan, jelas Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan promoter, Dorna Sports semalam.

“Penularan wabak Covid-19 yang masih berlaku menyebabkan ketiga-tiga perlumbaan ini dibatalkan,” jelas kedua-dua badan berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Grand Prix (GP) Jerman dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun di Sachsenring dan GP Belanda pula sepatutnya diadakan dari 26 hingga 28 di Assen, satu-satunya litar yang tidak terlepas menganjurkan perlumbaan GP sejak 1949.

Perlumbaan di Finland dijadualkan berlangsung buat kali pertama di litar baru KymiRing pada 10 hingga 12 Julai.

Ketiga-tiga negara berkenaan melarang berkumpul beramai-ramai untuk memerangi Covid-19.

“Ia sesuatu yang menyedihkan terpaksa mengumumkan pembatalan ketiga-tiga perlumbaan GP ini.

“Kami berharap dapat melihat kembali perlumbaan di Sachsenring dan TT Circuit Assen pada 2021.Kami juga tidak sabar untuk menyaksikan perlumbaan sulung di KymiRing musim depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna, Carmelo Ezpeleta.

Lapan perlumbaan awal pada 2020 sudah dibatalkan atau ditangguhkan sebelum ini.