LIONEL Messi mengesahkan barisan pemain Barcelona akan dikenakan potongan gaji sebanyak 70 peratus sekaligus menyumbang kepada kewangan kelab bagi memastikan kakitangan kelab yang lain menerima gaji penuh ketika pandemik Covid-19.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Messi juga membidas lembaga pengarah Barcelona diketuai presiden, Josep Maria Bartomeu yang didakwanya merendah-rendahkan pemain ketika sesi rundingan.

Kelab Sepanyol yang lain dijangka akan mengikut jejak langkah memotong gaji buat sementara ketika arena bola sepak terjejas berikutan Covid-19 sekaligus menyaksikan kelab bergelut dengan masalah kewangan.

“Sudah tiba masanya untuk mengumumkan pengurangan sebanyak 70 peratus daripada gaji kami ketika tempoh sukar ini. Kami juga akan membuat sumbangan bagi membolehkan kakitangan kelab menerima gaji penuh,” katanya.

Dia kemudian menambah: “Kami ingin menjelaskan bahawa kami sentiasa bersedia dengan penurunan gaji kerana memahami kita sedang menghadapi situasi luar biasa ketika ini dan kami adalah yang pertama selalu membantu kelab apabila diminta berbuat demikian.

“Sudah banyak kali kami melakukan inisiatif sendiri apabila berasakan ia adalah sesuatu yang amat penting.

“Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kami apabila terdapat individu yang cuba memberi tekanan kepada kami dan cuba menambah tekanan untuk melakukan sesuatu yang kebiasaannya sudah kami lakukan.”

Kenyataan Messi di Instagram kemudian dikongsi di laman sosial rakan sepasukannya termasuk Gerard Pique, Sergio Busquets, Luis Suarez, Jordi Alba, Antoine Griezmann, Frenkie de Jong, Arturo Vidal dan Marc-Andre ter Stegen.

Hubungan antara barisan pemain Barcelona dan pihak pengurusan agak tegang sejak beberapa bulan lalu dengan Messi secara terbuka mengkritik setiausaha teknikal, Eric Abidal pada Februari lalu.