AKSI final Liga Negara Concacaf yang dijadualkan berlangsung di Texas pada Jun ini ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, menurut badan induk bola sepak negara itu.

Concacaf badan bola sepak yang bertanggungjawab di Amerika Utara, Amerika Tengah dan kepulauan Caribbean berkata pasukan terbabit akan beraksi pada tarikh yang bakal ditetapkan nanti.

Aksi final dijadualkan berlangsung pada 4 dan 7 Jun di Houston dan Dallas.

“Kami akan meneruskan perancangan penjadualan untuk menjalankan pertandingan kami pada bulan akan datang.

“Kebajikan semua orang yang terbabit dalam bola sepak di seluruh daerah kami tetap menjadi keutamaan,” kata Concacaf dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan situasi kesihatan orang awam ketika ini dan disusuli rundingan bersama Fifa berkenaan kalendar bola sepak antarabangsa, kami mengambil keputusan untuk menangguhkan aksi Final Liga Negara Concacaf.

Costa Rica, Honduras, Mexico dan Amerika Syarikat antara pasukan yang dijadualkan mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Sukan di seluruh Amerika Utara terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19 dengan liga profesional utama ditangguhkan selain beberapa acara dibatalkan atau ditangguhkan.