FIFA terpaksa menangguhkan semua jadual perlawanan bola sepak antarabangsa pada Jun ini selepas persetujuan dicapai menerusi mesyuarat pertama kumpulan gerak kerja Covid-19 badan induk bola sepak dunia itu semalam.

Ia turut memutuskan untuk menangguhkan perbincangan bersama konfederasi bola sepak bagi undian penjadualan semula saingan kelayakan Piala Dunia 2022 yang turut ditangguhkan.

“Kumpulan gerak kerja Konfederasi-Fifa… sebulat suara meluluskan beberapa siri cadangan berikutan mesyuarat pertama ini, yang dilangsungkan menerusi panggilan persidangan,” menurut kenyataan Fifa.

Ia juga diputuskan oleh kumpulan untuk menangguhkan semua perancangan saingan antarabangsa wanita pada Jun ini.

Lanjutan keputusan penangguhan Olimpik Tokyo selama setahun, ahli Fifa bercadang mengekalkan syarat had umur pemain yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1997 dan tiga tambahan pemain lebih umur bagi acara bola sepak di temasya sukan terbesar itu.

“Kumpulan gerak kerja Fifa akan meneruskan perbincangan membabitkan beberapa perkara asas apabila situasi reda,” tambah kenyataan itu.