BANTUAN ‘talian hayat’ apabila rancangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menyuntik dana untuk membantu pasukan dianggap mampu memulihkan industri sukan nombor satu itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sudah tentu ketika ini hampir semua liga utama seluruh dunia sudah ‘tutup kedai’ untuk sementara waktu seterusnya menjejaskan pendapatan pasukan hingga mendorong gaji pemain turut dipotong.

Bukan setakat pasukan Liga Malaysia (Liga M) malah pasukan terkemuka Eropah turut terkena ‘tempias’ apabila beberapa pasukan sudah mula menguatkuasakan pemotongan gaji seperti Juventus, Barcelona, Bayern Munich dan juga Borussia Dortmund.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengakui langkah itu dapat menyelamatkan industri bola sepak terutama di negara Asia yang menanggung kerugian ratusan juta ringgit.

“Secara dasarnya, ini satu tindakan yang baik. Cuma kita mahu persetujui mengenai mekanisme bantuan sahaja. Kita belum mendapat perinciannya namun antara perkara yang akan dibincangkan adalah membabitkan jumlah dana dan bagaimana ia akan dibahagikan dengan telus.

“Kita dalam perbincangan dengan Fifa dan mungkin selepas mesyuarat pada Jumaat (hari ini), kita akan mendapat maklumat lanjut dalam hal ini. AFC sedang berbincang dengan Fifa dan juga konfederasi lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan AFC menjangkakan beberapa liga utama di asia termasuk Malaysia berhadapan situasi agak ‘parah’ dalam tempoh akan datang berikutan saingan liga masing-masing ditunda hanya selepas beberapa minggu sepak mula.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan mereka tidak berkesempatan menjana pendapatan seterusnya terpaksa pula menanggung gaji pemain dan pengurusan pasukan.

Berikutan itu, Fifa merancang menawarkan bantuan kepada bola sepak dunia selepas pandemik Covid menjejaskan kewangan kelab dan liga.

Badan induk bola sepak dunia itu yang mempunyai rizab AS$1.5 bilion (RM6.47 bilion) berkata, mereka sedang memikirkan cara untuk membantu komuniti bola sepak global.