BRUNO Fernandes berkata, sesiapa sahaja pemain baharu yang bakal ditandatangani Manchester United mestilah mempunyai mentaliti ‘lapar’ kejuaraan.

Perancang Portugal berusia 25 tahun itu yang tiba pada Januari lalu mencetuskan perubahan menakjubkan di Old Trafford dengan gaya kepimpinan di bilik persalinan selain impak menyerlah di atas padang.

United tidak tewas dalam 11 perlawanan sejak kehadiran Fernandes sehingga pemain tengah itu dinobat Pemain Terbaik Bulanan EPL pada Februari lalu.

“Kami telah pun mempunyai pasukan besar tetapi sesiapa sahaja yang tiba selepas ini perlu memiliki mentaliti untuk menang,” katanya Fernandes dalam laman wab kelab.

“Hanya perlu fokus menang dan juara, saya mahu mereka laparkan gelaran dan apa sahaja. Saya dapat rasakan sikap ini mula wujud dalam kumpulan, setiap orang mahu menang. Saya mahu menang apa sahaja dan laparkan kejuaraan. Saya datang ke Manchester untuk menang, miliki gelaran, liga, Liga Juara-Juara dan apa sahaja.

“Kami tahu potensi dimiliki Manchester kerana memiliki pasukan muda tetapi berkualiti.

“Tidak mengapa mereka muda berbanding pasukan lain yang lebih berpengalaman kerana kami juga mempunyai pemain otai yang dapat membantu pemain muda.

“Gabungan ini baik untuk masa depan, saya tak tahu apa berlaku musim depan tetapi United pasukan besar dan biasanya mereka akan membeli pemain baharu dan ramai yang mahu datang ke sini.”