PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menghulurkan bantuan dalam menyelesaikan kemelut yang kini dihadapi penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha di Thailand.

Norshahrul atau dikenali dengan panggilan Matyo beraksi bersama kelab BG Pathum United di negara Gajah Perang itu dan ketika ini sedang berdepan masalah membabitkan dokumentasi dengan pasukannya.

Bagaimanapun, ia hanya boleh diselesaikan oleh ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor yang kini menghilangkan diri dan akibatnya Norshahrul tidak dapat menyelesaikan beberapa isu dengan majikannya.

Jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau ada berhubung dengan pemenang tiga kali berturut-turut Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga-M dari 2010, 2011 dan 2012 itu.

“Saya ada menghubunginya dan apa yang berlaku adalah masalah dalaman membabitkan dia, ejen dan kelabnya. Jadi apa yang FAM boleh bantu, kita sedia membantu dari segi nasihat dan pertolongan berbincang dengan pengurusan kelabnya.

“Tapi Matyo minta biar dia selesaikan dulu dengan ejennya dan dia sedang berusaha mencari ejen berkenaan,” kata Stuart ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, perbalahan antara Norshahrul dan Halim menjadi semakin panas apabila kedua-dua pihak menyalahkan antara satu sama lain.

Menurut Norshahrul, kenyataan balas Halim di laman Facebooknya disifatkan bohong terutama dalam dua isu yang cuba dibangkitkan oleh Pengarah Urusan Offside Sports itu.

Halim menyatakan yang beliau bukan menghilangkan diri, sebaliknya tidak mahu memberikan komen kerana terdapat kes yang belum selesai di antara dirinya, ejen Thailand iaitu Pro24 Agency, kelab BG Pathum United dan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT).

Malah beliau turut mendakwa yuran ejen juga masih belum diterimanya daripada BG Pathum United sehingga sekarang.

“Beliau (Abdul Halim) mendakwa saya tandatangan dengan Pro24 Agency tanpa pengetahuan beliau tetapi perkara sebenar adalah sebaliknya.

“Keduanya, beliau mendakwa BG Pathum United masih belum membayar yuran ejen kepadanya tetapi kelab memberitahu kepada saya, yuran ejen itu sudah pun diperolehinya. Adakah kelab berbohong atau beliau yang berbohong?

“Secara logiknya kalau belum dapat yuran ejen, sudah tentu beliau masih menghubungi saya dan kelab.

Tapi apabila beliau sendiri menghilangkan diri, nampaknya memang dah dapatlah (yuran ejen) rasanya,” kata Norshahrul ketika dihubungi dari Bangkok.

Dia turut tidak mahu memanjangkan isu ini, sebaliknya sekali lagi merayu kepada Halim supaya tampil menghubunginya bagi sama-sama menyelesaikan perkara berkenaan.