EREDIVISIE menjadi liga utama Eropah pertama dibatalkan susulan pandemik koronavirus selepas Persekutuan Bolasepak Belanda (KNVB) membuat keputusan menamatkan saingan musim 2019-20.

Tiada pasukan diisytiharkan juara selepas Ajax dan AZ Alkmaar berkongsi mata di puncak liga dengan baki sembilan perlawanan.

“Berdasarkan langkah (pengharaman perhimpunan besar) diambil kerajaan, adalah mustahil menamatkan saingan musim 2019-2020,” kata KNVB dalam kenyataan awal pagi tadi.

“Kesihatan awam perlu diutamakan. Ia bukan hanya masalah bola sepak tetapi juga kepada masyarakat. Jawatankuasa bola sepak profesional menyedari keputusan hari ini bakal menimbulkan kekecewaan kepada sesetengah orang,” kata kenyataan itu lagi.

Pendahulu Ajax yang memiliki kelebihan jaringan ke atas AZ layak ke Liga Juara-Juara musim depan, menurut KNVB yang akan menunggu keputusan muktamad UEFA pada 25 Mei.

AZ pula menyertai pusingan awal kejohanan itu dengan Feyenoord, PSV Eindhoven and Willem II bertanding di Liga Europa berdasarkan kedudukan akhir liga.

Pembatalan itu kali pertama sejak 1945 menyaksikan musim bola sepak Belanda berakhir tanpa juara liga.

“Sudah pasti sebagai pemain dan kelab anda mahu menjadi juara,” kata ketua eksekutif Ajax, Edwin van der Sar dalam laman web kelab.

“Anda mahu membuktikannya di atas padang dan kami berada di puncak sehingga kini. Simpati apabila anda tidak diisytiharkan juara tetapi dalam situasi sekarang ia difahami. Ada perkara lain lebih penting berbanding bola sepak.”

KNVB bercadang menamatkan musim ini kelmarin selepas keputusan kerajaan Belanda melanjutkan pengharaman perhimpunan besar sehingga 1 September.

“Tiada penyingkiran, tiada promosi,” kata KNVB yang dijangka berdepan tindakan saman daripada SC Cambuur dan De Graafschap — dua kelab teratas di divisyen dua.