BEKAS bintang Manchester United, Rafael berkata ia pasti ‘sangat baik’ jika Liverpool tidak dinobatkan selaku juara liga susulan pandemik Covid-19

Liverpool kini selesa dengan kelebihan 25 mata di tangga teratas Liga Perdana tetapi krisis Covid-19 menyaksikan aksi liga musim ini ditangguhkan dan tidak ada sebarang kepastian apakah yang akan berlaku selepas ini.

Rafael yang beraksi selama tujuh tahun di Old Trafford nyata enggan menghentikan perseteruan antara United dan Liverpool yang semakin hampir untuk memenangi kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

Dia yang kini beraksi di Lyon mendedahkan ketika United berjaya mengatasi Liverpool memenangi kejuaraan liga kali ke-19, ia adalah saat yang paling menggembirakan dalam kariernya dan dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Reds kekal dengan rekod 18 kemenangan liga.

“Saya sentiasa menyatakan apabila United memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20 dan mengatasi Liverpool, ia adalah perasaan paling mengembirakan.

“Setiap orang menyatakan hentikanlah aksi liga musim ini dan mereka mungkin tidak mampu untuk menyamai rekod 20 kejuaraan liga.

“Ia pasti akan menyukarkan mereka jika aksi liga dibatalkan dan pastinya berita baik untuk United,” katanya di MUTV.

Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp hanya memerlukan dua kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan liga namun dengan penangguhan perlawanan, terdapat desakan meminta kempen musim ini dibatalkan.