JIKA minggu lalu saya berkongsi kenangan memenangi Piala Thomas 1992 dan kemudian melakar sejarah meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik, minggu ini saya ingin mengimbas semula kenangan jauh lebih lama sebelum itu, iaitu ketika zaman kanak-kanak.

Saya pasti ramai yang mengetahui kisah kami lima beradik ketika zaman kanak-kanak.

Arwah bapa, Datuk Sidek Abdullah Kamar sememangnya mahukan kami berjaya dalam sukan badminton dan untuk itu, beliau menerapkan disiplin cukup tinggi.

Bahasa kasar yang mungkin saya boleh gunakan ialah kami ‘dipaksa’ untuk meminati badminton meskipun ketika itu saya sebagai contohnya juga boleh bermain bola sepak, sepak takraw dan ping pong.

Arwah sering membawa kami menyaksikan perlawanan badminton di sebuah dewan yang jaraknya kira-kira 4 kilometer dari rumah.

Kami tiada pilihan. Setiap hari kami perlu berlatih bermain badminton di gelanggang tepi rumah. Jika ada yang ponteng, maka siaplah untuk menerima hukuman disumbat ke reban ayam.

Rotan dan tali pinggang sudah sebati dalam kehidupan kami. Kena tampar pun bukan sesuatu yang asing.

Malah saya masih ditampar arwah walaupun sudah bergelar pemain profesional hanya semata-mata mahu memperbetulkan kesilapan yang saya lakukan.

Namun saya bersyukur kerana dengan disiplin tinggi itu kami berlima dapat melakar kejayaan dan diingati hingga kini.

Sewaktu hidupnya, arwah mempunyai dua impian terhadap anaknya. Pertama memenangi kejuaraan Seluruh England dan kedua, memenangi Piala Thomas.

Alhamdulillah, saya dapat memenuhi kedua-dua impiannya itu bersama Razif (Datuk Razif Sidek) sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 17 Oktober 2005.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah jika anda mahu melihat anak anda berjaya dalam apa juga bidang, didiklah mereka sebaik-baiknya.

Sebagai orang tua, anda perlu melihat perkembangan semasa anak-anak dan jangan lepas tangan begitu sahaja.

Saya percaya setiap orang mampu meraih kejayaan asalkan mendapat dorongan padu daripada orang sekeliling. Jumpa lagi.