PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic berkata, dia menerima ucapan terima kasih dan penghargaan daripada pemain ranking lebih rendah di atas inisiatif bintang Serbia itu membantu mereka.

Djokovic, 32, mencadangkan pemain berada di ranking 100 ke atas menyumbang antara $5,000-$30,000 ((RM21,000-RM130,000) yang akan diagihkan kepada pemain terjejas susulan penggantungan Jelajah.

“Saya menerima banyak mesej dan surat penghargaan daripada mereka (pemain ranking rendah). Saya berbesar hati dapat membantu mereka. Selain itu perbincangan dengan ATP juga diadakan mengenai masalah ini,” katanya ketika perbualan live di Instagram bersama Fabio Fognini.

Jelajah ATP digantung pada mulanya selama enam minggu bermula 12 Mac lalu tetapi ATP kemudian melanjutkannya ke 7 Jun sebelum tempoh penggantungan itu ditambah ke 13 Julai.

Sejak Jelajah terhenti, pemain menggesa pemegang saham sukan tenis mencari jalan membantu pemain ranking rendah.

Djokovic, juara 17 kali Grand Slam enggan menunggu lebih lama dan menerangkan pelan jelas untuk membantu pemain lain yang terjejas akibat pandemik koronavirus.