MUNGKIN selepas terlalu bosan berada di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menganjurkan saingan Terbuka ‘Ruang Tamu’.

Tambahan pula adiknya, Marko yang juga pemain tenis profesional, turut berada sekali dalam rumah berkenaan jadi mereka berdua mula mencari jalan untuk melepaskan gian bermain tenis.

Lebih menarik mereka hanya menggunakan kuali untuk menggantikan raket, manakala kerusi dan bangku pula disusun dijadikan sebagai jaring.

Aksi berkenaan juga dirakam dan dimuatnaik dalam media sosial sekali gus menghiburkan hati peminat tenis dunia yang baru berdukacita dengan pengumuman pembatalan Wimbledon berikutan pandemik Covid-19.

Ia kelihatan seperti dua orang kanak-kanak yang tidak dapat bermain di luar rumah akibat hujan lebat.

Nampak seperti permainan mengisi masa lapang tapi jangan terkejut mereka boleh mempamerkan aksi rali sehingga 20 pukulan.

Selepas permainan rali berkenaan yang mempamerkan pelbagai teknik luar biasa, Marko kelihatan gagal menyambut pukulan abangnya apabila bola terkandas di ‘jaring’.

Seperti biasa Djokovic meraikan kemenangan itu dengan merebahkan badan perkara yang sering dilakukannya jika memenangi aksi sebenar.