IMPIAN membawa pulang sebutir pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 kini begitu menebal terpahat dalam diri atlet perahu layar Pahang, Ahmad Daniel Haikal Ahmad Shaharul.

Selepas pulang tangan kosong pada Sukma Perak 2018 dalam kategori laser 4.7, percubaan kedua atlet muda berkenaan diharap mencetuskan kejayaan diharapkan kontinjen Tok Gajah kali ini.

Ahmad Daniel Haikal berkata, usaha memburu kilauan emas pertama Sukma dilakukan sejak awal tahun ini dengan mengadakan latihan setiap hari membabitkan kecergasan mengambil masa lebih sejam dan turun ke laut setiap Sabtu dan Ahad antara tiga hingga empat jam. “Walaupun penat berlatih setiap hari kecuali Jumaat tapi demi misi merangkul kejuaraan pertama Sukma saya tetap gagahi, sokongan jurulatih, rakan sepasukan dan keluarga menambahkan lagi semangat untuk meraih kejayaan pertama.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu memaksa saya berlatih di dalam rumah selama sejam setengah dengan menumpukan aktiviti mengangkat bebanan selain menarik tali.

“Kekuatan bahagian tangan amat penting bagi setiap atlet perahu layar, kekuatan fizikal juga diperlukan terutama apabila terpaksa mengawal perahu layar dalam tempuh masa yang panjang,” katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.

Menurut pelajar tingkatan tiga SMK Sungai Baging itu, pada tahun ini dia sepatutnya menyertai tujuh pertandingan peringkat kebangsaan namun setakat ini hanya sempat bersaing pada kejohanan perahu layar antarabangsa Langkawi, dua bulan lalu dan mendapat tempat ke lima keseluruhan.

Katanya, sokongan kuat yang diberikan Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Pahang dan keluarga menambahkan lagi kesungguhannya untuk terus aktif dalam sukan perahu layar di peringkat kebangsaan.