KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sudah meluluskan dana kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBS hari ini dana berkenaan akan disalurkan kepada bekas pelumba MotoGP itu dalam masa terdekat.
“Dana yang akan disalurkan itu akan diserahkan melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai badan pemantau program-program pembangunan sukan permotoran di negara ini,” jelas kenyataan berkenaan.
KBS berkata, menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sudah memaklumkan perkara itu kepada Hafizh mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaan untuk 2020 pada awal Mac yang lalu.
“Bantuan seumpama ini adalah satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan oleh KBS dalam apa jua pembangunan sukan termasuk sukan permotoran yang boleh mengharumkan nama negara.”
Sebelum ini, menerusi laporan Harian Metro pelumba berusia 25 tahun itu mengakui sukar untuk mendapat tajaan menjelang saingan musim 2020.
Bagaimanapun, ketika itu (Januari) Hafizh mengakui dia tidak mahu terlalu memikirkan soal tajaan itu, sebaliknya mahu fokus kepada persiapan musim baharu terutamanya sesi ujian rasmi Februari.
Saingan Moto2 hanya sempat dilangsungkan ketika di Grand Prix Qatar awal Mac lalu sebelum semua saingan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Dalam perlumbaan yang hanya membabitkan saingan Moto3 dan Moto2 itu Hafizh menduduki tempat ke-19.
Sebelum ini laporan berita dan perbualan atas talian di antara Buletin Utama TV3 bersama Hafizh, menyatakan pelumba Aspar Team itu masih menunggu dana dari kementerian berkenaan.