CAL Crutchlow berkata dia tidak berhasrat untuk bersara selepas berakhir musim ini dan masih mengadakan perbincangan bersama LCR Honda dan HRC.

Crutchlow sebelum ini secara terbuka mempertimbangkan untuk bersara dengan kemungkinan besar selepas berakhir musim ini.

Namun ketika saingan MotoGP tahun ini ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, Crutchlow berpeluang untuk merenung kembali perjalanan kariernya dan juga berhubung masa depannya.

Pemenang tiga perlumbaan MotoGP itu berkata, dia mahu kekal berlumba pada 2021 dan masih bermotivasi berhubung masa depannya selepas mengadakan perbincangan bersama LCR Honda dan HRC.

“Saya mahu terus berlumba musim depan dan mahu kembali kompetitif. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan dan cukup bermotivasi tinggi. Itu saja yang boleh saya katakan ketika ini,” katanya.

Hanya Fabio Quartararo, Maverick Vinales, Marc Marquez dan Tito Rabat mempunyai kontrak melebihi musim 2020, manakala Valentino Rossi ditawarkan spesifikasi jentera M1 dan tempat di Petronas Yamaha untuk musim 2021.

Kontrak Crutchlow bersama HRC berakhir hujung musim ini.

Sementara itu, Crutchlow berkata keutamaan ketika ini adalah untuk memerangi Covid-19 sebelum sebarang cadangan dikemukakan berhubung perlumbaan MotoGP dan dia berasakan beraksi tanpa penonton bukanlah situasi yang dimahukan oleh majoriti pelumba.

“Sebagai seorang pelumba, kami sangat teruja beraksi di depan penonton. Suasana yang mereka wujudkan menjadikan ia sangat bermakna untuk kami.

“Pada akhirnya kami berada di dalam segmen ‘perniagaan hiburan’. Jadi berlumba tanpa penonton bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh pasukan, pelumba dan peminat terutamanya,” katanya.