BINTANG bola sepak, Ashley Cole berdepan situasi menakutkan apabila diikat dan diugut oleh sekumpulan perompak di kediaman mewahnya di London.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di rumahnya di Fetcham, Surrey sekitar jam 9.45 malam pada 21 Januari lalu, menyebabkan dia kerugian ratusan ribu barang kemas berharga.

Bekas bintang pertahanan Chelsea dan England yang berusia 39 tahun itu, dilaporkan diikat di atas kerusi dan di ugut.

Sumber memberitahu: “Ia pengalaman yang menakutkan dan perompak itu seperti kumpulan profesional serta tahu apa yang mereka buat.

Cole juga memberitahu dia menggeletar seluruh badan berikutan kejadian itu, tetapi tidak dicederakan.

Jirannya memberitahu bagaimana polis menyoal siasat mereka mengenai kejadian itu dan menyatakan ia amat menakutkan untuk memikirkan perkara seperti itu boleh berlaku di kawasan kediaman mereka.

Jurucakap polis Surrey berkata : “Siasatan kami terhadap kes yang berlaku di Fetcham, pada 21 Januari lalu masih diteruskan.

“Perompak memecah masuk kawasan kediaman melalui pintu depan jam 9.45 malam.

“Suspek melarikan diri dengan sejumlah barang kemas.

“Cole yang kini berkhidmat sebagai jurulatih skuad remaja Chelsea mempunyai dua orang anak bersama teman wanitanya Sharon Canu.

Cole (kanan) dan teman wanitanya, Sharon. FOTO File Agensi
Cole (kanan) dan teman wanitanya, Sharon. FOTO File Agensi

Namun tidak dilaporkan sama ada mereka turut berada di rumah atau tidak ketika kejadian berlaku.

Kejadian rompakan ini bukan kali pertama berlaku ke atas Cole selepas September 2010 dia turut dirompak di rumah flatnya di Esthter, Surrey ketika dia berdepan tugasan bersama skuad England.

Malah pada awal tahun yang sama kediamannya yang bernilai £4.5 juta (RM24.07 juta) di Surrey dikongsi bersama bekas isterinya, Cheryl turut diceroboh perompak.