BINTANG Manchester City, Ilkay Gundogan berkata, mereka perlu bersedia mempamerkan karakter sebagai ‘pemain dan kelab utama’ apabila musim bola sepak kembali bersambung.

City berbaki 10 perlawanan dalam Liga Perdana tetapi 25 mata di belakang pendahulu Liverpool apabila saingan digantung susulan pandemik koronavirus.

Namun, mereka menang 2-1 ke atas Real Madrid pada aksi peringkat pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan mara ke suku akhir Piala FA.

“Apa sahaja berlaku kami perlu sedia menghadapinya,” kata pemain antarabangsa Jerman itu kepada Radio 5 BBC awal pagi tadi.

“Sekarang kita berdepan situasi luar biasa yang memerlukan penyelesaian luar biasa. Kami memandang diri kami sebagai pemain utama dan kelab utama, jadi ini peluang kami menunjukkan karakter kami dan menangani situasi sebaik mungkin.

“Kami tak tahu bila liga bersambung kembali tetapi kami perlu bersedia menghadapi setiap kejohanan.”

City muncul juara Piala Liga tetapi aksi kompetitif terakhir mereka enam minggu lalu ketika tewas di Manchester United dalam saingan Liga Perdana pada 8 Mac.

Gundogan yang kerap berhubung dengan keluarga dan rakan menerusi panggilan video ketika perintah berkurung turut menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan di Heinsberg, Jerman yang terletak sekitar 50km dari bandar kelahiran Gundogan.