SAINGAN bola sepak di Jerman berjaya melepasi satu lagi halangan untuk memulakan kembali Bundesliga bulan depan apabila Kementerian Tenaga Kerja adalah badan terbaru yang dilaporkan meluluskan perancangan berkenaan.

“Keselamatan pemain, jurulatih dan staf sokongan terjamin jika konsep ini dilaksanakan sepenuhnya,” jelas kementerian berkenaan melalui kenyataan setiausaha mereka, Bjoern Boehning.

Liga bola sepak Jerman (DFL) mengeluarkan perancangan lengkap bagi membolehkan Bundesliga bersambung semula 9 Mei depan.

Antara perkara berkenaan ialah beraksi tanpa penonton, ujian kesihatan ke atas pemain secara berkala dan langkah-langkah kebersihan yang ketat.

“Masuk akan, mengurangkan risiko dan oleh itu ia dapat diterima dari segi kesihatan, keselamatan serta pekerjaan,” kata Boehning.

Saingan bola sepak di Jerman terpaksa dihentikan pada pertengahan Mac berikutan pandemik Covid-19, di mana meragut nyawa seramai 6,115 orang.

Kata putus terakhir bagi membolehkan saingan itu dapat diteruskan adalah melalui kerajaan.

Canselor Jerman, Angela Merkel bersedia untuk berjumpa dengan pemimpin negeri esok melalui satu sidang video.

Menteri sukan dalam kalangan 16 negeri di Jerman juga meluluskan perancangan DFL Isnin lalu, namun jurucakap berkata keputusan muktamad bagi menyambung semula saingan liga hanya akan diketahui minggu depan.

Bagaimanapun, perkara yang dikritik dalam perancangan itu adalah beban kerja yang bertambah buat sistem kesihatan Jerman.