BERSARUNG tangan dan mempraktikkan penjarakan sosial di atas padang antara cabaran dihadapi pemain Bundesliga ketika kembali menjalani latihan minggu ini selain mengharapkan liga boleh diteruskan bulan depan.

Hampir kesemua pemain 18 kelab dalam liga utama Jerman kembali berlatih dalam kumpulan kecil pada Isnin lalu dengan kontak terhad selari dengan garis panduan kesihatan susulan wabak Covid-19.

Aksi liga di Jerman digantung sejak 13 Mac lalu.

Liga Bolasepak Jerman (DFL) berunding dengan kelab dan pihak terbabit untuk meneruskan Bundesliga pada 2 Mei tetapi aksi dalam stadium kosong manakala sebarang perhimpunan umum kekal diharamkan di negara itu.

Keputusan mengenai tarikh baru dijangka diketahui pada 17 April sekali gus menjadikan liga utama pertama Eropah yang kembali bersambung di tengah-tengah kemelut wabak Covid-19 melanda benua itu.

Sementara itu, juara bertahan, Bayern Munich yang mendahului empat mata di puncak liga sebelum ditangguh menyaksikan pemain mereka berlatih dalam kumpulan kecil.

Kontak dikurangkan dengan pelukan dan bersalaman dilarang manakala pemain perlu berada 1.5m sesama sendiri ketika sesi latihan.

“Agak janggal berlatih dalam kumpulan kecil,” akui kapten Bayern, Manuel Neuer sambil menyaksikan rakan sepasukan berlatih dalam kumpulan mengandungi maksimum lima pemain. Di Wolfsburg, pemain turut berlatih sambil bersarung tangan walaupun suhu agak panas.

“Atas sebab kebersihan dan kesihatan, kami perlu memakai sarung tangan walaupun suhu mencecah 22 degrees (Celsius),” kata penyerang, Maximilian Arnold.

“Sudah tentu ia perlu tapi agak kelakar.”