LIGA bola sepak Jerman bersiap sedia kembali tanpa penonton pada 9 Mei sekali gus liga utama Eropah pertama bakal beraksi tetapi keputusan muktamad di tangan pemimpin politik, menurut ketua eksekutifnya, awal pagi tadi.

Selepas mesyuarat dengan beberapa kelab utama Jerman, Christian Seifert berkata, liga yang digantung sejak 13 Mac angkara pandemik koronavirus sedia kembali bulan depan.

Seifert menegaskan kerajaan Canselor Angela Merkel dan pemimpin kerajaan akan membuat keputusan akhir dan mereka dijangka bermesyuarat minggu depan.

“Ia bergantung kepada apa yang bakal diputuskan mereka,” kata Seifert dalam sidang akhbar video.

“Bundesliga kini bersedia tanpa mengira sama ada dapat diteruskan pada 9 Mei atau tarikh lain.”

Dalam perkembangan lain, ketua-ketua bola sepak Itali mengumumkan pengakhiran Serie A ditunda daripada 30 Jun ke 2 Ogos bagi membolehkan saingan musim ini ditamatkan.

Presiden Persekutuan, Gabriele Gravina berkata FIGC mencapai resolusi menunda pengakhiran musim 2019/2020 ke 2 Ogos.

Acara sukan terhenti di Itali sejak 9 Mac ketika negara itu berdepan krisis Covid -19 yang membunuh 25,000 penduduk.

20 kelab Serie A kelmarin mengundi bersetuju melengkapkan saingan musim ini tetapi keputusan muktamad bergantung kepada kerajaan negara itu.