BINTANG golf nombor satu dunia, Rory McIlroy menyertai kelompok pemain yang tidak bersetuju beraksi tanpa penonton pada Piala Ryder tahun ini

Dengan musim golf terjejas angkara pandemik koronavirus, pentadbir perlawanan mencari jalan untuk mengembalikan semula kejohanan.

Bagi penganjur Piala Ryder yang dijadualkan pada 25-27 September di Whistling Straits, Wisconsin mereka turut mengambil kira sama ada kejohanan dapat dilangsungkan tanpa penonton.

Bagaimanapun, McIlroy ketika bercakap menerusi Instagram berkata, dia lebih suka kejohanan tahun ini ditangguhkan ke tahun hadapan daripada beraksi dalam suasana sunyi sepi tanpa sorakan penonton.

“Saya punyai pandangan jelas dalam hal ini. Saya mempunyai implikasi kewangan yang turut membabitkan pihak lain dan Piala Ryder tanpa penonton bukanlah Piala Ryder,” kata McIlroy.

“Saya lebih memilih ia ditunda ke 2021 daripada beraksi di Whistling Straits tanpa penonton dan daripada Eropah ke Amerika, saya tahu akan ‘tersiksa’!.

“Tidak ada atmosfera, tidak hangat jadi jika perlu memilih sama ada tidak menganjurkannya atau bermain tanpa penonton saya lebih suka mereka menangguhkannya setahun ke 2021.”

Menurut McIlroy lagi, penangguhan itu pasti memberi kelegaan kepada penganjur Piala Ryder 2022, Itali salah satu negara paling teruk jerjejas serangan virus Covid-19.

“Piala Ryder seterusnya di Itali, kita tahu situasi buruk di sana, jadi penundaan ini membolehkan mereka mempunyai lebih masa melakukan persiapan menganjurkan Piala Ryder 2023,” kata McIlroy.

“Ini hanyalah pandangan tetapi jika kami perlu beraksi di Piala Ryder tahun ini tanpa penonton, saya lebih memilih menangguhkannya.”