JURULATIH terjun negara, Christian Brooker percaya bahawa anak buahnya sentiasa memberi komitmen 100 peratus walaupun terpaksa melakukan latihan bersendirian di rumah masing-masing.

Menurut pengendali kelahiran Australia itu, beliau mengakui bahawa situasi sekarang ini sangat sukar namun tidak mustahil untuk melalui dengan jayanya.

“Kami tidak mempunyai pilihan namun kekal di rumah adalah langkah terbaik bukan saja untuk atlet tapi semua rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Brooker mengakui mereka tidak mengadakan latihan secara atas talian tapi sentiasa menghubungi atlet secara individu.

“Kami melakukan perbincangan secara individu, jika berkumpulan pun ia hanya membabitkan sesi psikologi.

“Latihan fizikal adalah secara individu dan saya percaya dengan anak buah saya mereka sentiasa melakukan perkara yang betul.

“Mereka sentiasa bermotivasi tinggi dan bersedia untuk berlatih dengan gigih sebaik saja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Paling menggembirakan Brooker ialah atlet yang berlatih di rumah masing-masing sentiasa mendapat sokongan daripada ahli keluarga.

“Mereka semua mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dan memberi motivasi, jadi tidak perlu untuk kita melakukan latihan sidang video setiap hari.

“Dalam masa sama saya juga memberikan satu lagi projek dan sasaran yang harus mereka capai sebelum PKP ini berakhir,” katanya.