PEMAIN Liga Perdana mengambil inisiatif dengan melancarkan pengumpulan dana untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) bagi membantu menghadapi pandemik koronavirus.

Idea itu yang dinamakan #PlayersTogether diwujudkan bagi ‘membantu mereka yang berjuang untuk kami di barisan hadapan NHS’ ketika penularan wabak Covid-19.

“Ia mengenai kami, sebagai pemain, bekerjasama mengambil inisiatif secara sukarela melupakan kelab masing-masing menjayakan misi ini,” kata kenyataan kumpulan terbabit.

Individu seperti kapten pendahulu Liverpool, Jordan Henderson, pemain Tottenham, Harry Kane dan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang antara mereka yang memuat naik idea itu di media sosial mereka.

Awal minggu ini, Liga Perdana mencadangkan pemotongan gaji sehingga 30 peratus tetapi rundingan gagal mencapai kata sepakat dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) memberi amaran NHS mungkin berdepan kerugian cukai.

Ketua Eksekutif liga, Richard Masters mengakui pandemik itu menjejaskan liga utama dengan kerugian sekurang-kurangnya £1 bilion (RM5.38 bilion).

Ketua Eksekutif PFA, Gordon Taylor berkata, pemain bersetuju memainkan peranan mereka ketika tekanan makin memuncak dalam menentukan kadar pemotongan gaji yang dipersetujui bersama.